SEORANG rakan yang bekerja dengan sektor awam dan pulang agak lewat ke rumah setiap hari berasa bimbang terutama pada musim cuti sekolah begini. Dia bertambah bimbang kerana isterinya juga bekerja dan selalu sampai ke rumah lebih kurang pukul enam petang akibat kesesakan jalan raya setiap hari.
Mereka mempunyai dua orang anak yang sudah bersekolah menengah; seorangnya akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tahun depan dan seorang lagi akan melangkah ke tingkatan lima.
Kebimbangan mereka bersebab kerana kedua-dua orang anak mereka itu gila main video games. Melalui rakan-rakan, mereka mendapat tahu bahawa anak-anak mereka suka sangat ke kafe siber di pekan yang tidak jauh dengan rumah mereka.
Menurut rakan mereka lagi, pada musim-musim cuti sekolah begini, pengusaha kafe siber itu mampu mengaut keuntungan berlipat-ganda hasil daripada operasi mereka dari jam 9 pagi hingga jam 11 malam.
Di pekan kecil itu pula, oleh sebab dihimpit oleh kawasan perumahan baharu, maka muncullah pengusaha-pengusaha pusat kafe siber untuk memenuhi keperluan orang ramai, bukan hanya kanak-kanak, malah orang dewasa pun ada yang mengunjungi pusat tersebut untuk mendapatkan khidmat Internet.
Dalam soal ini, pengusaha kafe siber mestilah mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata terutama daripada murid-murid sekolah. Ada murid sekolah yang sanggup duduk berjam-jam di pusat tersebut menghabiskan masa dengan pelbagai permainan yang ditawarkan di pusat tersebut.
Malah, agak malang jika kanak-kanak yang masih di sekolah rendah juga berada di tempat yang sama. Hal ini sering berlaku di pusat-pusat kafe siber yang jauh dari bandar dan tersorok di pekan-pekan kecil dan kampung-kampung di pinggir bandar.
Dari satu sudut, mungkin ada ibu bapa yang lebih suka anak-anak mereka di pusat-pusat video games dan sebagainya daripada anak-anak mereka melepak tidak tentu hala. Bagi mereka, daripada anak mereka merempit, baiklah anak-anak mereka di kafe siber.
Setidak-tidaknya mereka sudah tahu anak mereka berada di mana jika tidak ada di rumah pada musim-musim cuti. Tetapi bagi ibu bapa yang prihatin akan pentingnya masa diisi dengan benda-benda yang lebih berfaedah, mereka akan menuding jari menyalahkan pusat kafe siber yang mempengaruhi anak-anak mereka berada di premis perniagaan tersebut setiap hari dan melibatkan masa yang panjang pula.
Bukan mudah menyedarkan murid-murid sekolah yang gila video games bahawa masa mereka terbuang begitu sahaja. Oleh itu mestilah ada pihak lain yang perlu mengambil inisiatif untuk membendung masalah ini supaya tidak menjadi nanah dalam kehidupan anak-anak muda yang masih bersekolah, walaupun pada musim cuti sekolah.
Jika ramai yang mengetahui bahawa sesetengah ibu bapa tidak tahu akan aktiviti anak-anak mereka semasa ketiadaan mereka di rumah terutama pada musim cuti begini, pihak-pihak lain mesti memikul tanggungjawab di samping ‘mendidik’ pengusaha kafe siber agar membataskan aktiviti mereka dan tidak memikirkan keuntungan semata-mata.
Pihak berkuasa tempatan mestilah memainkan peranan membuat rondaan demi memastikan premis-premis perniagaan kafe siber ini menjalankan aktiviti mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Pusat siber yang mempunyai tanggungjawab dan keikhlasan dalam menjalankan perniagaan mereka tidak akan membenarkan sama sekali anak-anak muda di bawah umur 18 tahun mengunjungi pusat siber mereka selepas jam 6 petang, malah mereka akan mencatatkan nama pengunjung, umur dan catatan masa pengunjung menggunakan khidmat mereka.
Pemilik pusat siber ini juga mestilah mempunyai kaki tangan yang mahir mengendalikan premis mereka termasuk mengesan sebarang salah laku pelanggan mereka di premis tersebut.
Sebarang aktiviti tidak sihat mestilah diambil tindakan supaya premis mereka benar-benar memberi faedah kepada pengunjung.
Sebenarnya kafe siber ini mampu menjana pemikiran pelbagai golongan jika tidak disalahgunakan. Ia sumber ilmu pengetahuan, dan menjadi alat perhubungan yang cepat, murah dan mudah jika digunakan dengan cara yang diizinkan.
Sumber : Sinar Harian