Lebih 6 juta belia hadapi krisis identiti
PUTRAJAYA 23 Okt. - Lebih enam juta belia di negara ini didakwa menghadapi krisis kecelaruan identiti disebabkan terpengaruh dengan gaya hidup Barat. Dapatan tersebut diperoleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hasil tinjauan melalui media alternatif seperti laman sembang sosial Facebook dan Twitter yang dihoskannya bermula Januari tahun ini.
Sehingga kini terdapat kira-kira 11.65 juta belia di Malaysia iaitu 40.28 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini. Presiden Isma, Abdullah Zaik Abd. Rahman (gambar) berkata, masalah tersebut kini berada pada tahap yang membimbangkan kerana ia akan mendorong belia terbabit ke arah pemikiran secara liberal.
Justeru beliau berkata, kerajaan perlu memandang serius perkara itu demi memastikan golongan belia terus berada pada landasan yang betul untuk menjamin masa depan negara. "Jika tidak dibendung di peringkat awal, tidak mustahil perkara yang tidak diingini akan berlaku. "Pelbagai program kesedaran melibatkan para belia perlu diperbanyakkan demi memastikan keterlibatan golongan ini bersama masyarakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011 di sini hari ini.
Konvensyen tersebut diadakan bagi memberi pendedahan mengenai isu semasa permasalahan keluarga dan rahsia kejayaan sebuah keluarga. Ia dimuatkan dengan dua sesi pembentangan kertas kerja selain forum bersama peserta. Penceramah yang terlibat ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Dr. Badrulhisham Abdul Aziz; Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Sidek Baba; pengasas dan rakan kongsi utama HIJRAH Wealth Management Sdn. Bhd., Mahadzir Md. Isa dan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
Menurut Abdullah Zaik, isu kecelaruan identiti sering dihubungkan dengan persoalan imej atau personaliti. "Kecelaruan sering dikaitkan dengan keadaan hilang pedoman atau hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga sering difahamkan terhadap perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma-norma positif dalam kehidupan," katanya.
30,000 hadiri sambutan Hari Malaysia
Perayaan berganda dirai serentak di seluruh negara
KUALA LUMPUR: Lebih 30,000 warga kota membanjiri Dataran Merdeka sejak 5 pagi, bagi menyambut perayaan berganda Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia ke-48 yang diraikan dengan penuh gilang-gemilang serta berwarna-warni. Perayaan yang turut diraikan serentak di seluruh negara itu, bertemakan ‘1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera’, dimonopoli golongan belia yang juga peserta terbesar mengambil bahagian dalam persembahan pada kemerdekaan kali ini.
Seramai 10,000 peserta terdiri daripada pelajar, guru, polis, tentera, kakitangan kerajaan dan swasta mengambil bahagian dalam acara sambutan serta perarakan kemerdekaan kali ini. Acara bermula sebaik keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah tepat pada jam 8 pagi. Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Puan Sri Norainee Abd Rahman tiba di perkarangan Dataran Merdeka.
Turut hadir barisan menteri Kabinet, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan duta serta pesuruhjaya tinggi asing di negara ini. Upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi nyanyian lagu Negaraku dan tembakan meriam 14 das memulakan acara sambutan kemerdekaan. Ini diikuti bacaan ikrar Rukun Negara dilafazkan 54 orang generasi muda pelbagai kaum termasuk golongan kelainan upaya, diketuai pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hishamuddin, Klang, Muizzuddin Maarof, 18.
Mereka kemudian melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali dan ‘1Malaysia’ sebanyak tiga kali. Suasana di Dataran Merdeka bertambah meriah apabila 2,300 pelatih perguruan mempersembahkan nyanyian koir lagu Rukun Negara yang diterjemahkan melalui pergerakan formasi 2,500 pelajar sekolah sekitar Selangor. Kontinjen 100 orang belia diketuai Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohd Rapiee bagi mewakili Generasi 1Malaysia Cergas mendahului acara perarakan perbarisan dengan iringan lagu Malaysia Satu.
Ini diikuti Kontinjen Generasi 1Malaysia Berjaya terdiri Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; penyanyi, Aizat Amdan; pemuzik, Datuk Ahmad Nawab; pengarah filem, Datuk Yusof Haslam; juara bina badan, Datuk Malek Noor; pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei yang berarak menaiki Proton Lotus serta kenderaan klasik.
Sambutan kali ini turut membawa kelainan apabila buat pertama kalinya, pengunjung menyaksikan persembahan kawad dan tempur tanpa senjata gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia, selain bunyi 10 unit pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia menggegarkan ruang udara Dataran Merdeka. Dataran Merdeka kembali menjadi lokasi utama bagi sambutan kemerdekaan selepas dua tahun diadakan di tempat lain. Sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun lalu diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil dan Dataran Parlimen pada 2009.
Kerajaan iktiraf peranan belia dalam jayakan transformasi negara
KUALA LUMPUR: Penglibatan lebih 80 peratus belia sebagai peserta sambutan serentak Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia hari ini membuktikan kerajaan mengiktiraf golongan itu sebagai penyandang tanggungjawab menzahirkan transformasi negara. Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, berkata penglibatan peserta belia membuktikan golongan itu kini sudah bersedia bersama-sama kerajaan memikul tanggungjawab menjayakan program transformasi negara.
"Saya sangat kagum dengan penglibatan belia hari ini. Saya melihat ada signifikannya apabila kumpulan belia diletakkan dalam kumpulan pertama pada kali ini," katanya yang juga Ketua Kontinjen Generasi 1Malaysia Cergas yang menyertai perarakan sambutan perayaan berganda di Dataran Merdeka, di sini, hari ini. Kontijen seramai 100 orang itu yang disertai antaranya dari Persatuan Sukan Ekstrem, Kelab One Nation Emcees - Senamrobik, Persatuan Lompat Tali Malaysia, Kumpulan Fitball dan Kumpulan Bolasepak - Freestyler mempamerkan trend masa kini remaja yang sihat, cergas dalam era serba moden. Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Khalid Ramli, berkata penglibatan ramai peserta belia dalam sambutan kali ini mampu memupuk semangat perpaduan dan kerjasama antara mereka.
"Golongan belia adalah tenaga penting untuk memikul tanggungjawab pada masa akan datang," katanya yang mengetuai Kontinjen Komunikasi pada perarakan tersebut. Peserta kontijen ini terdiri dari syarikat pembekal telekomunikasi seperti TM, Celcom, Tune Talk, Maxis, DiGi dan U-Mobile. Atlet terjun negara, Pandelela Rinong berharap lebih ramai belia dapat menyertai sambutan seumpama itu pada tahun akan datang selain melahirkan keinginan untuk bersama-sama golongan belia tersebut pada sambutan tahun depan.
Beliau adalah antara tokoh muda dan veteran yang mengambil bahagian dalam Kontinjen Generasi 1Malaysia Berjaya yang berarak dengan menaiki Proton Lotus serta kenderaan klasik. Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli, berkata daripada 10,073 peserta yang terbabit, seramai 8,500 peserta adalah golongan belia.
Beliau yang juga Penyelaras Acara sambutan berkata, penglibatan peserta belia pada kali ini berjaya memberi satu gambaran baru kepada corak persembahan yang dilihat lebih bertenaga, cergas dan rancak. "Saya sangat berpuas hati dengan persembahan hari ini. Apa yang dirancang sebelum ini diterjemahkan dengan baik oleh para peserta. Rata-rata penonton juga berpuas hati dan mereka berkata persembahan tahun ini ada kelainan berbanding tahun sebelumnya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ketua Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI), Mohamad Saiful Hadi yang hadir sebagai tetamu negara melahirkan rasa kagum dengan sikap pemimpin negara yang mesra dengan rakyat. "Saya melihat acara ini bukan hanya sekadar acara majlis, tetapi lebih kepada kerakyatan," katanya
Parlimen Belia dilaksana tahun 2013
Sumber : Kosmo 7 Julai 2011
Oleh HARYATI KARIM
KUALA LUMPUR - Parlimen Belia Malaysia (PBM) dijangka dilaksanakan menjelang tahun 2013 dengan melibatkan seramai 222 perwakilan belia dari setiap Parlimen di seluruh negara. Bagaimanapun, pelan tindakan penubuhan PBM akan melalui beberapa peringkat sebelum ia dapat direalisasikan untuk menjana pembangunan generasi muda masa hadapan. Pengarah Cawangan Sosioekonomi Kementerian Belia dan Sukan, Mohd. Nor Md. Said (gambar kecil) berkata, antara peringkat yang kritikal adalah seperti pemilihan perwakilan yang bersesuaian untuk mewakili komuniti termasuk persidangan percubaan selama setahun bagi menilai keberkesanan penubuhan modul yang dirancang.
Ujarnya, pada penghujung pelan tindakan yang dirancang, penambahbaikan pelaksanaan akan dilakukan untuk menilai kelemahan yang timbul sebelum persidangan sebenar berlangsung. "Penubuhan Parlimen Belia akan melihat kerjasama orang muda dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk menjadikan resolusi institusi tersebut menjadi polisi dan dasar kerajaan.
500 aktiviti meriahkan Hari Belia Negara 2012
Sumber : Kosmo
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan lebih 500 aktiviti pada sambutan Hari Belia Negara 2012 bagi memastikan sasaran menghimpunkan seramai 2 juta belia di Putrajaya dapat dicapai. Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pelbagai aktiviti yang melibatkan penyertaan lebih ramai akan belia dirancang untuk penganjuran Hari Belia Negara 2012 yang dijangka diadakan selama satu minggu.
“Jika tahun ini lebih 200 aktiviti diadakan untuk tiga hari, untuk tahun depan rekod baharu akan dicipta dengan lebih banyak aktiviti yang lebih hebat, menarik dan memukau agar sasaran 2 juta belia dicapai. “Tahun depan, kejutan lebih besar akan berlaku dan ini juga akan menjadi dan menghidupkan Putrajaya dengan semangat belia yang hebat,” katanya.